Sunday, September 18, 2016

Program Nilam: Tokoh /sahabat nabi Abu Ubaidah Ibn Al-Jarrah r.a

Tarikh: 19 September 2016
Hari : Isnin
MAsa: Perhimpunan

Program Membaca Mingguan
Guru Nilam: Ustazah Norhaslinda Bt Mohd Ridzuan
Sasaran: Semua Murid Mendapat maklumat dan ilmu mengenai tokoh
Pembaca Nilam: Mohd Hakimi Bin Mohd Zam




Nama sebenarnya adalah ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Jarrah al-Fihri al-Quraisy al-Makki, ibunya bernama Umaimah binti Ghanim. Beliau salah seorang sahabat yang dijamin masuk Syurga, memiliki wajah yang berseri, tampan orangnya tinggi lampai, tidak gempal dan berjambang nipis. Beliau mudah mesra, tawaddhu dan pemalu. Namun, di saat yang genting beliau bagaikan singa yang mencari mangsa. Kualiti iman dalam dirinya dapat kita ketahui melalui sabdaan Baginda Nabi sallallahualaihi wasallam;
 لِكُلِّ أُمَّةٍ أَمِينٌ، وَأَمِينُ هَذِهِ الأُمَّةِ أَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ
“Setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan orang kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin al-Jarrah.” (Riwayat al-Tirmizi)

Abdullah bin ‘Umar pernah menjelaskan perwatakan Abu Ubaidah ini;
ثَلاثَةٌ مِنْ قُرَيْشٍ أَصْبَحُ النَّاسِ وُجُوهًا، وَأَحْسَنُهَا أَخْلاقًا، وَأَثْبَتُهَا حَيَاءً، وَإِنْ حَدَّثُوكَ لَمْ يَكْذِبُوكَ، وَإِنْ حَدَّثْتَهُمْ لَمْ يُكَذِّبُوكَ: أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ، وَعُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ، وَأَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ  
“Tiga lelaki Quraish yang paling berseri wajahnya, paling baik akhlaknya dan paling teguh sifat malunya; Jika mereka berkata kepadamu, mereka tidak berdusta. Jika kamu berkata kepada mereka, mereka tidak akan mendustakannya. Mereka adalah Abu Bakr, Uthman bin ‘Affan dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah.” (Hilyat al-Auliya)

Manakala diriwayatkan yang dinyatakan oleh Saidatuna Aishah radhiallahu anha, beliau berkata;
أَيُّ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - كَانَ أَحَبَّ إِلَيْهِ؟ قَالَتْ: أَبُو بَكْرٍ ، ثُمَّ عُمَرَ ، ثُمَّ أَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ
(Aisyah pernah ditanya tentang siapakah sahabat Nabi yang paling disukai Rasulullah) Siapa yang Rasulullah sallallahualaihi wasallam cintai (dari golongan laki-laki)?” Aisyah menjawab Abu Bakar, kemudian Umar, kemudian Abu Ubaidah bin al-Jarrah.” (Siyar ‘Alam al-Nubala)

Abu Ubaidah bin al-Jarrah dilahirkan di Makkah, di dalam sebuah rumah keluarga suku Quraish yang dihormati dan disegani oleh pemuka kabilah masyarakat Arab. Meskipun demikian, Abu Ubaidah juga tergolong di dalam golongan yang paling awal memeluk Islam, agama yang menjadi ancaman kepada masyarakat Arab jahiliyyah ketika itu. Abu Ubaidah memeluk Islam sehari selepas pengislaman Abu Bakar dan ini adalah hasil daripada dakwah Abu Bakar kepada Abu Ubaidah.

Pengislaman Abu Ubaidah disaksikan Abdul Rahman bin ‘Auf, Uthman bin Maz’un dan al-Arqam bin Abi al-Arqam yang telah mengucapkan syahadah di hadapan Rasulullah sallallahualaihi wasallam. Maka, ini bermakna Abu Ubaidah adalah golongan yang bersama Rasulullah sallallahualaihi wasallam daripada awal perjuangan Baginda. Seperti mana yang kita ketahui, pada waktu itu mereka ditimpa pelbagai seksaan disebabkan ajaran yang dibawa oleh Nabi.

Kehidupan Abu Ubaidah tidak jauh berbeza dengan kebanyakan sahabat lainnya, diisi dengan perjuangan menegakkan Islam. Ketika Rasulullah sallallahualaihi wasallam mengizinkan umat Islam berhijrah ke Habsyah, beliau turut serta berhijrah ke sana bersama rombongan Muslim yang lain di saat gelombang kedua kekejaman musyrikin Quraish demi menyelamatkan aqidahnya.

Walaupun Abu Ubaidah menghadapi pelbagai dugaan di Makkah, namun boleh dikatakan dugaan paling mencabar yang dihadapinya adalah ketika perang Badar di mana ia benar-benar melampaui jangkaan dan khayalan. Ketika peperangan itu, Abu Ubaidah menyerang musuh-musuh dengan begitu hebat sekali dengan perwatakan pahlawan mencari syahid dan tidak takutkan mati. Semangat kepahlawanan beliau telah menggerunkan tentera Musyrikin sehingga mereka berwaspada dan cuba mengelak daripada bertempur dengan Abu Ubaidah.

Dalam pada jumlah tentera Quraish yang ramai itu, ada seorang sahaja yang benar-benar ingin bertempur dan mengekang semangat kepahlawanan Abu Ubaidah itu. Keadaan ini menyebabkan Abu Ubaidah cuba mengelak daripada bertempur dengan lelaki tersebut. Setiap serangan oleh lelaki itu, Abu Ubaidah mengelak dengan segera. Lelaki itu tidak berputus asa dan dia menyekat kemaraan Abu Ubaidah dengan menghunuskan pedang ke arah Abu Ubaidah sehingga tiada pilihan lain lagi untuk beliau mengelak. Dalam keadaan terpaksa, dia menetak lelaki tersebut dan membuatkan badan lelaki itu tersungkur ke bumi. Lelaki yang jatuh menyembah bumi itu adalah ‘Abdullah bin al-Jarrah, ayah kepada Abu Ubaidah.

Allah menurunkan firman-Nya terhadap tindakan nekad Abu Ubaidah terhadap bapanya sendiri :
لا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُوْلَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الإِيمَانَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُوْلَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.” (surah al-Mujadilah ayat 22)

Ketika Abu Ubaidah di medan perang Uhud, beliau adalah salah seorang sahabat yang melindungi Rasulullah sallallahualaihi wasallam. Mereka mempertahankan Nabi seolah-oleh dada dan tubuh mereka tembok yang menghalang panah dan tombak. Apabila peperangan tamat, gigi Rasulullah sallallahualaihi wasallam patah, kulit dahinya terkoyak dan dua mata rantai baju perisai Baginda terbenam di pipinya. Abu Bakar datang untuk mencabutnya namun Abu Ubaidah meminta agar urusan itu dilakukan olehnya.  
أسألك بالله يا أبا بكر أن تتركني
“Aku (Abu Ubaidah) sungguh-sungguh meminta kepadamu wahai Abu Bakar agar urusan ini dibiarkan kepadaku untuk menyelesaikannya.” 

Abu Bakar berundur dan memberikan laluan kepada Abu Ubaidah kerana bimbang jika dicabutnya mata rantai itu dengan tangan ia akan menyakitkan Rasulullah sallallahualaihi wasallam. Abu Ubaidah berusaha mencabutnya tetapi beliau menggunakan gigi kacipnya dengan cara menggigitnya sehingga mata rantai itu tercabut dan mengakibatkan sebahagian giginya lerai ke bumi. Hal itu menyebabkan Abu Ubaidah adalah di kalangan Sahabat Nabi yang rongak giginya (athram).

Di sisi lain tentang kehebatan sahabat yang satu ini adalah kezuhudannya. Ketika kekuasaan Islam telah meluas setelah perang di Yarmouk dan kekhalifahan dipimpin oleh Umar bin al-Khattab radhiallahu anhu hampir-hampir membebaskan Bait al-Maqdis daripada belenggu Rom, Umar telah mengadakan kunjungan dan singgah ke khemah Abu Ubaidah. Namun, tidak terlihat sesuatupun di dalamnya yang berharga kecuali pedang dan perisai. Tiada satupun harta yang dikumpulkan hasil dari kemenangan perang yang dilalui sepanjang perang. Abu Ubaidah menyertai dalam semua peperangan Islam, bahkan selalu mempunyai kesempatan untuk mengumpulkan kekayaan dalam setiap peperangan tersebut.

Ketika wabak taun merebak di negari Syam sehingga menyebabkan ramai nyawa yang terkorban akibat penyakit itu, Khalifah Umar bin al-Khattab mengirim surat dengan tujuan memanggil kembali Abu Ubaidah, sahabat kepercayaannya. Namun, Abu Ubaidah menyatakan keberatannya sesuai dengan isi surat yang dikirimkannya kepada khalifah berbunyi;

عرفت قصدك، وإنما أنا في جند من المسلمين يصيبني ما أصابهم، فحللني من عزمتك يا أمير المؤمنين

“Saya tahu tujuan Amir al-Mukminin (agar saya terus hidup sedangkan tiada siapa yang boleh kekal hidup). Sesungguhnya saya merupakan sebahagian anggota tentera Islam oleh itu apa yang menimpa itulah jua yang akan menimpaku. Justeru gugurkanlah tuntutanmu terhadapku (agar kembali ke Madinah) wahai Amir al-Mukminin .”

Tatkala Umar bin al-Khattab membaca surat tersebut, air mata beliau terus mengalir.

Setelah beberapa hari Abu Ubaidah diserang penyakit taun. Sedang beliau nazak bertarung dengan penyakit tersebut, beliau berpesan kepada tentera-tenteranya.
أقيموا الصلاة، وصوموا رمضان، وتصَدَّقوا، وحُجُّوا، واعْتَمِروا، وتواصوا، وانْصحوا لأُمرائِكم ولا تغُشُّوهم، ولا تُلْهِكم الدنيا، فإنَّ المرء لو عُمِّر ألف حَوْلٍ ما كان له بُدٌّ من أن يصير إلى مصْرعي هذا الذي تَرَوْن
“Dirikan solat, berpuasalah di bulan Ramadan, bersedekahlah, tunaikan haji dan umrah, salinglah berpesan-pesan dan memberi nasihat kepada pemimpin kamu dan jangan kamu memperdayakan mereka. Jangan kamu dilalaikan dunia. Lantaran jika seseorang itu mampu hidup 1000 tahun sekalipun, dia tetap akan menemui pengakhiran kehidupannya seperti yang kamu sedang lihat saya sekarang ini.”

Kemudian Abu Ubaidah berpaling kepada Mu’az bin Jabal dan mengarahkannya menjadi imam solat dan sejurus selepas itu beliau pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Apabila Abu Ubaidah meninggal dunia, Mu’az bangun di hadapan rakyat dan berucap;
 يا أيها الناس، إنكم قد فُجِعْتُم بِرَجُلٍ، واللهِ ما أعلم أني رأيتُ رجُلاً أبرَّ صدْراً ولا أبعد غائِلَةً، ولا أشدَّ حُباً للعاقِبَة، ولا أنصح للعامَّة منهم فَتَرَحَّموا عليه يرْحَمْكم الله
“Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah ditimpa kesedihan disebabkan lelaki ini. Demi Allah! Saya tidak pernah mengenali lelaki yang lebih berhati mulia dan jauh daripada hasad dengki, terlalu cinta dengan mati dan paling menunaikan tanggungjawab dan paling banyak menasihati rakyatnya berbanding lelaki ini. Doakanlah kerahmatan untuknya, pasti Allah akan merahmati kamu semua.”

Abu Ubaidah al-Jarrah meninggal dunia pada tahun 18 Hijriah di Jordan dalam wilayah Syam. Jenazahnya dikebumikan di kawasan yang pernah dibebaskannya daripada kekuasaan Rom dan Parsi. Ketika itu beliau berumur 58 tahun.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. 

No comments:

Post a Comment