KURIKULUM BERSEPADU DINI

1. PENDAHULUAN
KBD merupakan kurikulum baru yang dibina secara bersama oleh KPM, LEPAI dan
Jabatan/ Yayasan Agama berdasarkan kurikulum agama-arab yang dikenali sebagai
Kurikulum Dini/ Azhari yang dilaksanakan di sekolah-sekolah agama di Malaysia
termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Agama Negeri dan Sekolah
Agama Rakyat. Setelah melihat pemintaan yang tinggi dan keperluan penyelarasan
bagi tujuan penambahbaikan terhadap kurikulum ini KPM dengan persetujuan Majlis
Raja-Raja dan majoriti Pihak Berkuasa Agama Negeri dan mengambil keputusan
untuk mengangkat kurikulum ini sebagai kurikulum kebangsaan. Justeru, satu
panduan yang jelas perlu diterbitkan bagi melancarkan pelaksanaanya di sekolah
perlu di, maka panduan ini dihasilkan. Buku ini secara umumnya mengandungi
dasar-dasar utama serta tatacara pelaksanaan kurikulum ini di sekolah untuk
rujukan di pihak KPM, JPN, PPD, LPS SABK dan sekolah sendiri.

2. PUNCA KUASA
Dalam melaksanakan kurikulum ini beberapa punca kuasa yang penting telah
diperolehi dari pihak-pihak yang berkaitan. Punca kuasa tersebut adalah seperti
berikut:

2.1.Jawatankuasa Kurikulum Agama, Lembaga Penasihat Pelajaran dan
Pendidikan Agama Islam (LEPAI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM) telah menyelaraskan Kurikulum Dini bagi kegunaan SAN, SAR dan
SABK. Dalam mesyuarat pada 15 Jun 2012, Jawatankuasa ini telah
bersetuju terhadap cadangan KPM untuk menjadikan Kurikulum Dini dan
Kurikulum Tahfiz sebagai Kurikulum Kebangsaan dengan mengguna pakai
kurikulum yang telah diselaraskan sebagai asas Kurikulum Dini dan
Kurikulum Tahfiz Kebangsaan.

2.2.Jawatankuasa Kurikulum Pusat (JKP) KPM dalam mesyuarat Bil. 3/2012
pada 25 Jun 2012 telah bersetuju terhadap cadangan menjadikan Kurikulum
Dini dan Kurikulum Tahfiz sebagai Kurikulum Kebangsaan.

2.3.Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan KPM Kali Ke-200 yang
dipengerusikan oleh YAB Menteri Pelajaran pada 26 Julai 2012 juga
bersetuju dengan cadangan menjadikan Kurikulum Dini dan Kurikulum Tahfiz
sebagai Kurikulum Kebangsaan.

2.4.Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Ugama Islam Malaysia
(MKI) Kali Ke-54 yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana
Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abd Razak pada 03 Disember 2012
telah bersetuju supaya Kurikulum Dini dan Kurikulum Tahfiz digunakan
sebagai Kurikulum Kebangsaan di sekolah agama yang telah mendaftar
sebagai SABK. Kurikulum tersebut dinamakan sebagai Kurikulum Bersepadu
Dini (KBD) dan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT).

2.5.Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-231 yang bersidang pada 27 Februari
2013 telah bersetuju mengambil maklum dan memperkenankan cadangan ini
setelah dibentangkan oleh pihak LEPAI dengan kerjasama KPM.

2.6.Surat persetujuan telah diterima daripada Pihak Berkuasa Negeri yang akan
melaksanakan KBD dan KBT di SABK masing-masing. Dengan persetujuan
ini, pelaksanaan KBD dan KBT di SABK adalah selari dengan MoU
pendaftaran SABK yang menyatakan bahawa pelaksanaan Kurikulum Azhari
di sekolah-sekolah agama hendaklah diurus oleh kerajaan negeri
sehinggalah kurikulum-kurikulum tersebut diselaraskan dan dijadikan
sebahagian daripada kurikulum kebangsaan.

3. LATAR BELAKANG
Program Pendaftaran SAR dan SAN sebagai SABK merupakan satu program yang
telah membuka mata banyak pihak tentang kurikulum Dini/ Azhari di sekolah agama.
Program yang tercetus daripada Laporan JK Tan Sri Murad dan dipersetujui oleh
YAB Perdana Menteri ketika itu telah membawa masuk sekolah-sekolah agama
rakyat dan negeri yang menggunakan dwi-kurikulum ke arus perdana. Pelaksanaan
dwi-kurikulum di SABK setelah berlakunya pendaftaran menunjukkan bahawa
terdapat ruang-ruang yang masih boleh ditambahbaik bagi menjamin
kecemerlangan murid dalam kedua-dua bidang iaitu akademik dan agama.
Resolusi Seminar Pemantapan Kurikulum SABK peringkat Kebangsaan 2008 Port
Dickson telah menyatakan bahawa Kurikulum Dini/ Azhari perlu diselaraskan dan
diangkan menjadi kurikulum kebangsaan.

Persidangan Ketua-ketua/ Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia kali ke-86,
pada 25-27 Mei 2011 di Kangar Perlis telah bersetuju dengan cadangan Kurikulum
Dini di selaras dan diangkat menjadi kurikulum kebangsaan.
Pihak LEPAI dan JAKIM telah mengetuai usaha-usaha penyelarasan kurikulum Dini
Azhari yang dilaksanakan di negeri-negeri. Usaha-usaha tersebut kemudiannya di
selaraskan dengan KPM dalam kerangka memartabat dan mengangkat kurikulum
Dini sebagai kurikulum Kebangsaan sehinggalah KBD dan KBT yang berasaskan
Kurikulum Dini/ Azhari akhirnya diperkenalkan.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, Gelombang 1 dalam perkara
“Mengukuhkan laluan pendidikan agama” telah menyatakan bahawa “ ..kementerian
beriltizam menyediakan pendidikan agama berkualiti tinggi bagi melengkapkan
murid dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk berjaya dalam
pasaran kerja berasaskan nilai dan tasawur Islam yang kukuh. Kementerian akan
memperkukuhkan pelaksanaan kurikulum kebangsaan di sekolah agama dengan
mengangkat kurikulum Dini dan Tahfiz sebagai kurikulum kebangsaan serta
menerapkan unsur-unsur agama ke dalam kurikulum kebangsaan.

Oleh itu KPM mengeluarkan Dokumen Standard Kurikulum bagi KBD sebagai
rujukan untuk pelaksanaannya.

4. KEPENTINGAN KURIKULUM BERSEPADU DINI
KBD diwujudkan bagi memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah
Pendidikan Islam dan bagi merealisasikan hasrat PPPM.

4.1. Aspirasi Sistem
Melalui pelaksanaan KBD negara dapat menawarkan kepada
warganegara yang memerlukan pendidikan aliran agama kepada anakanak
mereka dan seterusnya mengukuhkan pendidikan agama di dalam
aliran perdana.Ini akan memberikan lebih peluang kepada murid di dalam
menentukan laluan kerjaya mereka.

KBD yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar akan
mempertingkatkan kualiti komunikasi dan berbahasa serta mampu
merujuk asas-asas ilmu pengetahuan dalam kitab-kitab muktabar.
Kesatuan dalam menghayati manhaj ahli sunnah wal jamaah dan menjadi
norma rujukan contoh, model sahsiah yang unggul

Murid yang dilahirkan berpotensi memenuhi keperluan modal insan yang
mampu menyumbang dalam kemajuan ekonomi negara dalam pelbagai
sektor.

4.2. Kepentingan KBD kepada Murid
KBD berperanan mempertingkat keupayaan murid berasaskan aspirasi
murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu
memastikan murid-murid menguasai pengetahuan, Kemahiran berfikir,
kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, dan
identiti nasional.

Aspek pengetahuan kurikulum ini akan mengembangkan potensi dan
keupayaan murid dalam ilmu agama dan bahasa Arab. Kurikulum ini juga
dapat mengembangkan Kemahiran berfikir murid melalui pelbagai kaedah,
pendekatan dan teknik pembelajaran dan pengajaran dengan menerapkan
elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Dalam konteks Kemahiran memimpin, pendidikan dini akan mendokong
dan memperkukuh empat (4) dimensi kepimpinan iaitu kemahiran
entrepeneurship, berdaya tahan, kecerdasan emosi dan kemahiran
komunikasi yang berkesan berasaskan pemahaman dan penghayatan
dalil-dalil naqli serta penyantunan kepada sub ilmu dalam pendidikan
shariah, usuluddin dan bahasa Arab.

Kurikulum ini yang menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar
mampu memberi kelebihan dan nilai tambah kepada murid dalam
penguasaan bahasa selain Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris
(Kemahiran dwibahasa).

Murid-murid yang mengikuti kurikulum dini berupaya memperkukuh etika
dan kerohanian bagi mendepani cabaran masa hadapan. Mereka
diharapkan dapat menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat
pertimbangan, berpegang kepada prinsip dalam situasi kritikal serta dapat
membuat keputusan yang betul dan tepat berdasarkan prinsip Islam
sebenar.

Kurikulum dini ini akan mengukuh prinsip Islam sebagai agama
persekutuan di samping prinsip pertama rukun negara iaitu Kepercayaan
Kepada Tuhan. Kurikulum ini digubal berdasarkan manhaj ahli al-Sunnah
wa al-Jamaah dan pandangan muktabar Mazhab Shafie serta ketetapan
institusi pihak-pihak berkuasa agama Islam di Malaysia. (Identiti nasional)
Dengan KBD murid akan mengikuti setiap mata pelajaran dalam sistem
kurikulum yang selaras sehingga ke peringkat SPM.

Kurikulum dini di SABK akan memenuhi 6 ciri utama aspirasi murid dalam
PPPM dan berupaya bersaing diperingkat global.

4.3. Kepentingan KBD Kepada Guru
Guru dini ditawarkan skim yang sama seperti guru lain di bawah KPM
tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan. Mereka akan menjalani
latihan perguruan dan memperoleh peluang pembangunan kerjaya yang
menarik berasaskan prestasi dan kompetensi.

4.4. Kepentingan KBD Kepada Sekolah
SABK yang melaksanakan KBD layak menerima bantuan per kapita mata
pelajaran seperti mata pelajaran kebangsaan yang lain. Di samping itu,
sekolah layak menerima Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).
Prinsip ini di selaraskan dengan aspirasi sistem dalam PPPM yang
berkaitan dengan kemampuan akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan
kecekapan. Dengan itu semua SABK yang terlibat akan dapat
diperkukuhkan.

4.5. Kepentingan KBD Kepada Masyarakat, Bangsa dan Agama
Kurikulum dini digubal untuk menyediakan bakal ulama dan cendikiawan
Islam yang berkaliber dan bertaraf dunia. Untuk itu kurikulum ini berhasrat
melahirkan agamawan yang muthaqqaf ke arah mencapai keredhaan
Allah.

Kefahaman yang sahih dari kurikulum ini dapat menjadi asas kukuh
mempertahankan kesucian agama Islam dari ajaran sesat dan
menyeleweng supaya masyarakat dapat menghindar diri dari kumpulan
songsang yang sering muncul dalam masyarakat.

4.6. Kepentingan KBD Kepada Negara
Menyediakan Negara Malaysia sebagai hub pendidikan agama Islam
bertaraf dunia.

5. KONSEP KURIKULUM BERSEPADU DINI
Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) adalah penggabungan Kurikulum Dini/ Azhari yang
telah diselaraskan dengan Kurikulum Kebangsaan sedia ada dalam arus perdana.
Mata pelajaran KBD menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.

6. MATLAMAT
Menyediakan murid-murid yang seimbang dan cemerlang melalui KBD berasaskan
naqli dan ‘aqli bagi menyediakan bakal ulama dan agamawan muthaqqaf.

7. OBJEKTIF
Antara objektif utama dalam pelaksanaan KBD adalah seperti berikut:
7.1. memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran KBD dan KBT di
sekolah;
7.2. menyediakan kemudahan-kemudahan pendidikan kepada KBD dan KBT
dengan Kurikulum Kebangsaan;
7.3. menyelaraskan pengurusan KBD dan KBT antara KPM, LEPAI dan Pihak
Berkuasa Negeri,
7.4. membekalkan Guru Dini dan Guru Tahfiz yang terlatih dan setaraf dengan
guru-guru KPM dari segi perjawatan; dan
7.5. menggilap potensi dan keupayaan pelajar melalui kurikulum yang dapat
menyediakan individu yang seimbang dan berketrampilan dalam keduadua
bidang ilmu naqli dan ‘aqli.

8. STRUKTUR KURIKULUM BERSEPADU DINI
Pelaksanaan KBD mengekalkan mata pelajaran sedia ada dalam Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dengan sedikit perubahan dari segi
peruntukan waktu minimum seminggu dan penambahan mata pelajaran Dini
dalam kurikulum kebangsaan. Bagi mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV)
pelaksanaannya adalah secara berperingkat-peringkat mengikut kemampuan
pihak sekolah. Tempoh masa suatu waktu adalah empat puluh (40) minit.

8.1. Senarai Mata Pelajaran Dini

a) Usul al-Din
Mata pelajaran ini merangkumi bidang al-Tauhid, al-Tafsir, al-Hadis, al-
Sirah wa Tarikh al-Islam, al-Akhlak wa al-Tasawwuf.

b) Al-Syariah
Mata pelajaran ini merangkumi bidang al-Quran wa a-Hifz, Fiqh al-Ibadat,
Fiqh al-Munakahat, Fiqh-al-Muamalat, Fiqh-al-Jinayat.

c) Al-Lughah al-Arabiah al-Mu`asirah
Mata pelajaran ini merangkumi bidang al-Istima` wa al-Kalam, al-Qiraah,
al-Kitabah, al-Mutalaah wa al-Ta’bir, al-Nahu wa al-Sarf.

d) Manahij al-Ulum al- Islamiyah
Mata pelajaran ini merangkumi bidang al-Mantiq, Usul al-Fiqh.

e) Al-Adab wa al-Balaghah
Mata pelajaran ini merangkumi bidang al- Adab wa al-Nusus, al-
Balaghah.




8.2. Pakej mata pelajaran bersama agihan waktu minimum seminggu mata
pelajaran seperti di lampiran 1a dan 1b.

9. PELAKSANAAN KURIKULUM BERSEPADU DINI

9.1. Dasar Penetapan Sekolah
a) KBD hanya akan dilaksanakan di SABK yang telah dipersetujui
oleh Pihak Berkuasa Negeri.
b) Penetapan awal bagi aliran KBD atau KBT mengikut operasi sedia
ada sejajar dengan kurikulum semasa.
c) Sekolah boleh melaksanakan sama ada salah satu aliran KBD atau
KBT, atau kedua-dua sekali bergantung kepada perbincangan
bersama antara KPM dan LPS.
d) Pertukaran, pertambahan dan penutupan sebarang aliran adalah
berdasarkan permohonan dan kelulusan oleh pihak KPM.
e) Sekolah mestilah melaksanakan secara keseluruhan mata
pelajaran mengikut pakej-pakej yang telah ditetapkan.

9.2. Bahasa Pengantar bagi Mata Pelajaran
Bahasa Pengantar bagi Mata Pelajaran Dini dalam KBD ialah Bahasa
Arab manakala mata pelajaran KBSM adalah dalam bahasa Melayu
atau bahasa Inggeris.

9.3. Struktur Organisasi
Struktur organisasi pengurusan KBD terdiri daripada Guru Kanan Mata
Pelajaran (GKMP) Pendidikan Islam, ketua-ketua panitia mata
pelajaran dan guru-guru mata pelajaran. Carta organisasi pengurusan
KBD adalah seperti di lampiran 2.

9.4. Jadual Waktu Persekolahan
Jadual waktu persekolahan mesti memenuhi hak peruntukan waktu
minimum seminggu bagi setiap mata pelajaran. Tempoh masa bagi
satu waktu ada empat puluh (40) minit. Contoh jadual adalah seperti
lampiran 3a dan 3b.

9.5. Bantuan Geran Perkapita
Sekolah-sekolah yang melaksanakan KBD berhak menerima Geran
Perkapita Mata pelajaran mengikut kadar yang dicadangkan oleh KPM
dengan kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

9.6. Pentaksiran
Pentaksiran bagi KBD dijalankan mengikut sistem Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS). PBS ini melibatkan empat elemen iaitu
Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti
Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan ujian psikometrik.

9.7. Pelaporan dan Pensijilan
Di peringkat menengah rendah, murid-murid akan menerima pelaporan
berikut :
a) Pelaporan pentaksiran sekolah
b) Pelaporan pentaksiran pusat melalui PT3
c) Pelaporan Pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum
d) Pelaporan psikometrik
Di peringkat menengah atas murid-murid akan menerima Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) yang menunjukkan gred bagi setiap mata
pelajaran KBD yang diduduki.

9.8. Guru
Keperluan guru untuk pelaksanaan KBD adalah Guru Dini. Guru Dini
bertanggungjawab menguruskan tiga mata pelajaran peringkat
menengah rendah iaitu al-Syariah, Usul al- Din dan Al-Lughah al-
Arabiah al-Muasirah.

a) Bekalan guru Dini adalah di bawah tanggungjawab KPM. Norma
guru adalah tertakluk kepada kelulusan Agensi Pusat.
b) Dasar waktu mengajar guru seminggu adalah 26 waktu.
c) Penetapan guru adalah berdasarkan satu guru bagi satu mata
pelajaran.
d) Bagi pelaksanaan tahun 2015 jika terdapat keadaan di mana Guru
Dini tidak dapat dibekalkan sepenuhnya kepada sekolah maka
pihak sekolah perlu menguruskan Guru Dini dengan norma sedia
ada. Guru-guru Dini boleh terdiri daripada:

i. Guru Dini/ Azhari LPS yang sedia ada di sekolah dengan
keizinan daripada pihak LPS.
ii. Guru Pendidikan Islam KPM sedia ada di sekolah yang
mempunyai kemahiran dalam mata pelajaran Dini dan
berkemampuan dalam mengendalikan PdP menggunakan
bahasa Arab.
iii. Guru Bahasa Arab KPM sedia ada di sekolah yang mempunyai
kemahiran dalam mata pelajaran Dini dan berkemampuan dalam
mengendalikan PdP menggunakan bahasa Arab.

9.9. Buku Teks
Murid-murid KBD akan dibekalkan buku teks oleh KPM berdasarkan
syarat-syarat Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).
Di peringkat menengah rendah murid-murid akan dibekalkan pakej
buku teks yang merangkumi:

Bil Buku teks Buku aktiviti
1. Usul al-Din -
2. Al-Syariah -
3. Al-Lughah al-Arabiah al-Muasirah Al-lughah al-Arabiah al-Muasirah
Di peringkat menengah atas murid-murid akan dibekalkan pakej buku teks
yang merangkumi:

Bil Buku teks Buku aktiviti
1. Usul al-Din -
2. Al-Syariah -
3. Al-Lughah al-Arabiah al-Muasirah -
Murid-murid yang mengikuti aliran Dini Tulen akan menerima dua tambahan
buku teks seperti berikut:

Bil. Buku teks Buku aktiviti
1. Manahij al-Ulum al-Islamiyah -
2. Al-Adab wa al-Balaghah –

9.10. Pengambilan Murid
Pengambilan murid bagi sekolah-sekolah yang melaksanakan KBD
adalah berdasarkan prosedur pengambilan murid yang ditetapkan oleh
pihak LPS.

9.11. Kokurikulum
Aktiviti Kokurikulum dilaksanakan mengikut dasar pelaksanaan
kokurikulum sedia ada KPM. Dua persatuan akademik baharu
diwujudkan iaitu Persatuan Usul al-Din dan Persatuan al-Syariah
sebagai menggantikan Persatuan Pendidikan Islam di samping
meneruskan Persatuan Bahasa Arab.


9.12. Kelas Khas Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran
Pelaksanaan KKQ diteruskan di SABK yang melaksanakan KBD
mengikut dasar pelaksanaan sedia ada.

10.PENUTUP
Kejayaan pelaksanaan KBD amat bergantung kepada pihak pelaksana di
sekolah. Komitmen yang tinggi dan usaha gigih ke arah menjayakan kurikulum
baru di bawah kerangka meningkatkan kualiti pendidikan Islam amat ditagih dari

semua pihak.

No comments:

Post a Comment

MUTIARA KATA