Thursday, May 17, 2018

Tadarus AL-Quran 2018

Tarikh: Sepanjang Ramadhan
Masa: Rehat dan waktu pagi
Tempat :Masjid Kariah Kg Chuah

Anjuran: Panitia Pendidikan Islam
Penyelaras: Cik Norkhadijah Bt Sahak

Pendahuluan
Antara ibadah yang menjadi kelaziman di bulan Ramadhan ialah tadarus Al-Quran. Ini bertepatan dengan bulan Ramadhan yang dianggap sebagai 'Bulan Al-Quran', yang diturunkan padanya Al-Quran. Insya Allah saya cuba mengupas secara ringkas berkenaan ibadah ini.

Makna Tadarus
Asasnya, tadarus bermaksud memperdengarkan bacaan Al-Qur’an di hadapan seseorang
yang dapat mengawasi bacaan itu daripada sebarang kesilapan. Amalan tadarus merupakan salah satu ibadat penting yang diberi tumpuan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bulan Ramadhan.

Diriwayatkan, Rasulullah bertadarus Al-Quran dengan Jibril sendiri.


عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: (كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ـ أي أكرم الناس ـ
وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل، وكان جبريل يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه
القرآن، فرسول الله صلى الله عليه وسلم حين يلقاه جبريل أجود بالخير من الريح المرسلة) متفق عليه

“Nabi Muhammad s.a.w. merupakan orang yang sangat pemurah dengan kebajikan,
dan kemuncak kemurahannya ialah sepanjang bulan Ramadhan.Jibril a.s.
menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan sehingga habis bulan itu dan
Rasulullah membacakan Al-Qur’an kepadanya. Sesungguhnya Rasulullah adalah
amat pemurah umpama angin yang bertiup kencang”.
(Riwayat:Al-Bukhari dan Muslim).

Kelebihan Tadarus

Tadarus Al-Qur’an mempunyai banyak kelebihan. Selain kelebihan-kelebihan yang
dijanjikan bagi sesiapa yang membaca Al-Quran, Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ … وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ
مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ
وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ.

“Tidak berkumpul suatu kaum pada mana-mana rumah Allah, mereka membaca
dan bertadarus Al-Qur’an, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan
(sakinah), diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan Allah menyebut mereka pada
para malaikat”.

Tadarus Di Kalangan Orang-Orang Soleh

Amalan tadarus Al-Qur’an Rasulullah itu, telah menjadi ikutan dan dihayati oleh para
sahabat dan orang-orang soleh dari dahulu hingga kini. Mereka bertadarus Al-Qur’an
sehingga tamat beberapa kali sepanjang bulan Ramadhan. Ada yang mengkhataminya
seminggu sekali, tiga hari sekali, sekali setiap malam atau lain lain tempoh mengikut kesungguhan serta keupayaan masing-masing.

Imam Asy-Syaaf’i umpamanya dilaporkan dua kali tamat dalam sehari di bulan Ramadhan. Seorang ulama' lain bernama Mujahid, khatam Quran antara Maghrib dan Isyak
pada setiap malam di bulan Ramadhan. Qatadah pula mengkhataminya setiap tiga malam sebelum sepuluh terakhir Ramadhan. Manakala dalam tempoh sepuluh terakhir beliau mengkhataminya setiap malam.

Cara Tadarus
Tiada cara yang seragam atau tertentu dalam aktiviti tadarus Al-Qur’an. Bagaimanapun
antara langkah-langkah yang boleh diikuti ialah:

1. Membaca Al-Qur’an secara bergilir-gilir dalam suatu kumpulan kecil.

2. Membaca mengikut tertib surah dan ayat, sebagaimana dalam mashaf

3. Menyemak bacaan agar selamat daripada kesalahan tajwid dan sebagainya.

4. Baca dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah bukan untuk segera khatam.

5. Aktiviti ini boleh dihidupkan di tempat-tempat yang sesuai terutama di masjid, surau
atau di rumah sebaik-baiknya bersama keluarga.

Sumber: http://aisaralex.blogspot.my/2007/09/apa-sebenarnya-tujuan-tadarus_14.html










No comments:

Post a Comment