Tarikh: 24 November 2016
Masa: 8.30 - pagi - 11.00 pagi
Tempat: Bilik Gerakan
Sasaran: Semua Guru
Fasilitator: Pn Suhaidah Bt Hasnan
Pengenalan:
Pembelajaran berasaskan projek adalah proses pembelajaran yang berfokuskan tugasan amali secara terancang dalam jangka masa yang tertentu.
Kaedah pengajaran ini menekankan kajian dalam bentuk projek sebagai cara murid memperolehi ilmu. Proses pembelajaran ini juga biasanya melibatkan kutipan serta analisis data dan persediaan satu laporan yang betul.
Murid-murid akan diberi tugasan yang merupakan masalah yang mungkin akan dihadapi dalam situasi harian. Masalah-masalah yang difikirkan dapat diselesaikan melalui kaedah pembelajaran berasaskan tugasan atau projek.
Kementerian Pelajaran Malaysia melalui “Handbook- Project Based Learning” menekankan kaedah ini sebagai strategi pembelajaran yang membawa pelajar mempelopori ilmu keluar daripada tradisi bilik darjah lama yang memfokuskan guru sebagai pemberi ilmu.
Teknik ini hampir sama dengan teknik pembelajaran berasaskan masalah. Bezanya ialah teknik pembelajaran berasaskan projek biasanya melibatkan penghasilan sesuatu produk ataupun bahan. Contohnya, mesin, peralatan, model dan lain-lain. Manakala pembelajaran berasaskan masalah lebih berfokus kepada masalah, punca dan penyelesaiannya.
Kaedah pembelajaran :
1) Penyataan masalah atau isu
2) Idea pelajar
3) Pelaksanaan projek (pengumpulan bahan/maklumat/data, memproses maklumat/data)
4) Pembentangan projek/hasil tugasan
5) Penilaian
6) Laporan
Ciri-ciri Pembelajaran Berasaskan Projek :
Beberapa ciri Pembelajaran Berasaskan Projek merangkumi:
1) Kaedah ini boleh dijalankan secara individu atau secara berkumpulan.
2) Penilaiannya dijalankan pada setiap tahap proses sehinggalah ke tahap hasil yang siap.
3) Interaksi guru dengan murid adalah berbentuk bimbingan dan perundingan pada setiap tahap proses (guru sebagai fasilitator)
4) Guru perlu menjelaskan prosedur pelaksanaan yang lengkap.
5) Proses ini melibatkan pengumpulan bahan, maklumat, data, memproses maklumat dan data, dan pelaporan hasil serta refleksi kendiri.
6) Kaedah pembelajaran ini berasaskan kemahiran, pengetahuan, pengalaman dan kebolehan murid.
7) Berorientasikan dunia sebenar.